PAS PERLU HENTIKAN SIKAP BERBINCANG MELALUI MEDIA

Posted by abewa Sunday, 29 November 2009
Fokus mengenai Mursyidul Am, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat belum berakhir, malahan semakin diteruskan pula dengan isu bakal pengantinya. Pimpinan PAS pula nampaknya sekadar selamba sahaja memberi pandangan masing-masing seolah-olah berbincang melalui media.

Apakah semua pihak tidak nampak akan senyuman melebar di kalangan Umno bahawa PAS sudah terlupa jerat. Sebenarnya PAS sendiri yang memasang jerat yang pasti akhirnya akan menjerat diri sendiri.

Sesetengah pihak kelihatan hanyut dibuai mimpi kerana mendapat publisiti selepas menengahkan pandangan, yang kononnya langkah itu membuatkan mereka terpopular dan mempunyai akal untuk dikongsi bersama

Tindakan Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar kelihatan lebih bijak dan pantas untuk meredakan keadaan dengan secara lembut dan bersopan meminta jangan diberi tekanan pada TGNA untuk menamakan penggantinya.

Beliau juga meminta semua kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu mesti dihentikan. Memang itu yang sepatutnya, dan Perakite pernah meminta agar janganlah semua pihak dok dalam PAS bercakap, kerana banyak yang merosakkan. Biarlah pimpinan berkenaan yang bersuara dan mengemukakan pendapat

"Jangan paksa Tuan Guru mencadangkan penggantinya. Beliau tentu mempunyai perkiraan, perhitungan dan kebijaksanaan sendiri untuk memilih masa yang sesuai untuk mencadangkan siapa penggantinya," kata Mahfuz.

Mahfuz menyifatkan tindakan berbalas-balas kenyataan mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media memberi tekanan kepada Tuan Guru menamakan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Walaupun tindakan menyuarakan pandangan mengenai perkara itu adalah hak demokratik masing-masing, kata beliau, tetapi berbalas-balas kenyataan sesama sendiri mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media boleh mengakibatkan implikasi yang lain.

"Lebih dari itu, semua pihak jangan membelakangi tertib organisasi di dalam PAS. Dari segi peraturan berorganisasi di dalam PAS, Tuan Guru atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan boleh mencadangkan nama penggantinya kepada dan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Begitu juga, ahli-ahli mesyuarat yang lain di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga boleh mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi, dari segi kaedah berjemaah di dalam PAS, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang dipilih oleh muktamar," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pandangan dan hasrat Tuan Guru sebagai pemegang jawatan itu kini dan lebih dari itu sebagai Mursyidul Am biasanya diberi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat tersebut.

0 comments

Post a Comment