Deposit wang palsu melalui mesin ATM

Posted by abewa Wednesday, 25 November 2009

ASRI (dua dari kanan) menunjukkan wang kertas RM50 palsu yang dirampas di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, semalam.

ALOR SETAR: Sepasang suami isteri warga tempatan berusia 20an yang menjalankan modus operandi mendepositkan wang palsu RM50 ke dalam mesin juruwang automatik ke dalam akaunnya diberkas polis.

Mereka ditangkap beserta 232 keping wang RM50 berjumlah RM11,600 di sini, kelmarin.

Timbalan Ketua Polis KEDAH, Datuk Asri Yusuf, berkata pasangan itu membelah wang RM50 tulen kepada dua bahagian dan menampal satu bahagian yang dicetak atas kertas bersaiz A4 (mengikut saiz wang sebenar) lalu dikeringkan mengguna haba lampu dan seterika.

"Selepas itu, mereka memasukkan wang itu ke dalam akaun bank melalui CDM dan mengeluarkan wang melalui mesin juruwang automatik (ATM). Bagi setiap wang tulen RM50 dipalsukan, mereka memperoleh RM100.

Sejak memulakan kegiatan pada Julai lalu, suspek memasukkan wang melalui CDM dalam jumlah yang kecil, tetapi makin aktif pada pertengahan September lalu sehingga mencecah RM26,000.

Suspek melakukan kegiatan membuat wang itu di sebuah motel di Hentian Bas Shahab Perdana, di sini dan dipercayai mempelajari teknik itu melalui seorang rakan berusia 20-an yang masih bebas.

Azri berkata, dalam serbuan di sebuah rumah di Taman Wira Mergong, di sini polis turut menemui sejumlah wang kertas palsu, sterika, gam, pengimbas wang kertas, gunting, dakwat, mesin pencetak dan pisau.

Suspek ditahan reman selama enam hari mulai semalam dan disiasat mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan.

0 comments

Post a Comment