HARGA IKAN DAN MAKANAN LAUT AKAN MELAMBUNG

Posted by abewa Tuesday, 23 February 2010
Harga ikan dan makanan laut akan naik mendadak ekoran penguatkuasaan peraturan mewajibkan penggunaan Kotak Ikan Berinsulasi Bergred Makanan (KIBFG) mulai 1 Mac ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengimport/Pemborong Ikan dan Sumber Laut Malaysia Datuk Yusoff Ismail berkata, senario itu tidak dapat dielakkan jika peraturan berkenaan dikuatkuasakan.

"Rakyat yang akan menanggung bebannya ekoran peraturan itu yang meningkatkan kos operasi. Pengimport terpaksa menokok harga membeli peti KIBFG sehingga hampir RM100 sebuah," kata beliau.

Misalnya harga kotak 30 kilogram yang digunakan sekarang adalah RM28 manakala KIBFG mencecah RM120. Begitu juga kotak KIBFG bagi 100 kg iaitu RM205 berbanding harga biasa RM150.

Penguatkuasaan peraturan berkenaan yang sepatutnya dilaksana tahun lepas, ditangguh ekoran bantahan pengimport dan pemborong ikan kerana harga kotak ikan berinsulasi tinggi terlalu mahal.

Mulai 1 Mac ini Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia akan mewajibkan penggunaan KIBFG yang bertujuan memastikan kualiti ikan yang dibawa masuk ke negara ini lebih selamat, bersih dan segar sejajar dengan pembaharuan dalam industri perikanan pada masa sekarang.

0 comments

Post a Comment