KUFUR JIKA SOKONG GUNA KALIMAH ALLAH PADA PERKARA YANG SALAH

Posted by abewa Monday, 4 January 2010

Umat Islam yang menyokong keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan penggunaan kalimah 'Allah' bagi penerbitan akhbar mingguan Herald-The Catholic Weekly boleh membawa kepada kekufuran.

Timbalan Mursyidul Am PAS, Datuk Dr Haron Din berkata, menyokong kepada sesuatu perkara yang salah di sisi Islam juga secara tidak langsung boleh menyebabkan berlakunya kekufuran dan syirik.

"Kalau kita sokong perkara yang kufur, kitapun secara tak langsung akan kufur sama," katanya sambil menegaskan bahawa dalam politik memang ada banyak pandangan, tapi kalau hal agama, ia perlu balik kepada kaedah agama.

"Kalau kita berpuas hati dengan perkara yang syirik ia akan membawa kepada kekufuran," katanya.

Haron Din turut meragui niat akhbar berkenaan yang bertegas mahu mendapatkan kebenaran menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

"Kenapa sekarang nak gunakan nama Allah? Saya yakin mesti ada niat yang tersurat dan tersirat. Kalau niat mereka baik, saya nasihati jangan gunakan kalimah itu kerana ia tidak baik untuk kita umat Islam... sesuatu yang mendatangkan keburukan mestilah dicegah," katanya.

Selain itu Haron Din berkata, pada masa akan datang perkara yang melibatkan hal agama sepatutnya dibicarakan di Mahkamah Syariah.

"Hal Allah ini adalah hal agama, jadi tempat penyelesaiannya adalah di Mahkamah Syariah. Kenapa nak bawa kes ini ke Mahkamah Sivil? Saya menyeru supaya kes ini diselesaikan di Mahkamah Syariah," katanya.

Beliau juga meminta semua pihak termasuk kerajaan dan Majlis Raja-Raja supaya segera menyelesaikan isu berkenaan.

"Saya merayu Raja-Raja Melayu supaya jangan memandang ringan perkara ini, selesaikan dengan cara setiakawan dan faham memahami perasaan masing-masing," katanya.

0 comments

Post a Comment