jangan salahguna kalimah Allah

Posted by abewa Monday, 4 January 2010

Semua pihak diingatkan jangan menyalahgunakan kalimah Allah untuk mengelirukan atau menjadikan isu tersebut sebagai politik murahan bagi mendapatkan sokongan rakyat, kata Presiden PAS, Datuk Seri TG Haji Abdul Hadi Awang.

Beliau berkata, PAS menghormati prinsip kebebasan beragama seperti yang ditekankan Islam kerana manusia tidak boleh dipaksa menerima mana-mana agama melainkan pilihan sendiri sepertimana termaktub dalam perkara 11 Perlembagaan Persekutuan.

"Walau demikian, dalam konteks masyarakat di Malaysia, suasana dan keadaan setempat perlu diambil kira atas kepentingan awam bagi memelihara keharmonian pelbagai kaum dan agama,"katanya.

Beliau berkata berdasarkan kaedah Islam, penggunaan nama Allah pada asasnya adalah dibenarkan untuk digunakan oleh agama Samawi seperti Kristian dan Yahudi, namun penggunaannya secara salah dan tidak bertanggungjawab harus dielakkan supaya ia tidak menjadi isu yang boleh menjejaskan keharmonian kaum dan agama di negara ini.

Sehubungan itu, PAS dengan tegas menolak sebarang bentuk tindakan agresif dan provokatif jahat yang boleh menggugat keharmonian dan mencetuskan ketegangan masyarakat di negara ini.

Khamis lepas, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan membenarkan akhbar mingguan terbitan gereja Katholik, Herald, menggunakan kalimah Allah dalam penerbitannya.

Keputusan ini mengundang kontroversi apabila pelbagai pihak termasuk NGO yang bertindak membuat laporan polis sebagai membantah tindakan majalah milik aktivis Kristian itu.

Mursyidul Am, TG Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat turut melahirkan kebimbangan penggunaan kalimah Allah disalahgunakan biarpun tidak salah untuk diguna kesemua agama samawi.

0 comments

Post a Comment