PRK edisi ke-10 sejak PRU 2008 bagi kawasan P94 - Parlimen Hulu Selangor amat signifikan bagi mengukur penerimaan rakyat terhadap Parti Keadilan Rakyat. khususnya dan Pakatan Rakyat, yang digambarkan media arus perdana dengan rangkaian permasalahan wakil rakyatnya.

Lantaran itu, kemenangan pastinya akan berpihak pada parti yang meletakkan calon yang benar-benar berwibawa dan diterima semua lapisan pengundi kawasan itu. Faktor pengundi setempat juga memainkan peranan, tetapi faktor majoriti Melayu di kawasan itu wajar diambil kira.

MIC ternyata terkedepan dalam hal ini dengan mengumumkan calon Timbalan Presidennya, Datuk G. Palanivel untuk merampas kerusi berkenaan yang dimenangi PKR pada PRU lepas, dan begitu juga dengan segelintir puak dalam PKR yang mahukan calon India.

Ingatlah bahawa Palanivel tewas kepada calon PKR, Allahyarham Datuk Dr Zainal Abidin Ahmad pada PRU lepas dengan hanya 198 undi. Allahyarham memperoleh 23,177 undi, manakala Palanivel mendapat 22,979 undi.

Melayu Hulu Selangor mempunyai sentimen kemelayuannya. Pengundi Cina masih lagi memihak pada PKR dan seribu undi Orang Asli akan menjadi begitu berharga untuk menentukan kemenangan. Perarakan secara aman Orang Asli di Putrajaya baru-baru ini untuk menuntut hak mereka yang kononnya diabaikan mungkin juga akan menjadi perkara yang perlu diberi perhatian.

Mantan MB Selangor DS Khir Toyo sejak awal lagi tidak bersetuju dengan pencalonan Palanivel. Beliau menyifatkan Palanivel sebagai bakal calon bermasalah. Namun sebahagian pimpinan MIC melihat Palanivel sebagai calon yang berwibawa.

Parlimen Hulu Selangor mempunyai 63,539 pengundi dengan 53.9 peratus Melayu; China (26.7 peratus), India (19 peratus) selain kira-kira 1,000 pengundi Orang Asli.

PKR juga elok memikirkan senario semasa dalam meletakkan calon.

Pelbagai karenah wakil rakyat PKR yang melompat meninggalkan parti itu perlu diambilkira. Ia memberi kesan psikologi negatif yang pastinya mempengaruhi pengundi dan akan menjadi modal terbaik kepada BN untuk menghentam PKR/PR.

Lantaran itu, wajar kiranya kawasan Parlimen Hulu Selangor itu diletakkan calon PAS yang pastinya tidak diragui kesetiaannya kepada parti. Ia secara mutlak akan menghapuskan kesangsian pengundi Melayu dan pengundi Cina yang desawarsa ini mempertaruhkan keyakinan penuh pada PAS.


1 Responses to BIAR PAS BERTANDING DI HULU SELANGOR ELAK KESANGSIAN PENGUNDI

  1. alhusseyn Says:
  2. Sanggupkah PKR bertolak ansor dalam isu ini dengan memberi laluan kepada calon PAS sedangkan PAS Selangor dibawah Hasan Ali pun ada masalah...Bagaimana pula dengan Badrul Amin?

     

Post a Comment